29 September 2009

Renaissance...hidup kembali terarah...


"Ayah, along nak pergi FUN FAIR, boleh?" aku bertanya dengan penuh minat. Ayah menjawab, "Boleh, tapi hanya sekali". Aku kehairanan. Kenapa ayah membenarkan aku pergi hanya sekali. Bukankah tempat tersebut amat menarik dan sesuai dengan naluri aku yang masih kecil? Aku tidak membiarkan diriku dalam tanda tanya. "Kenapa sekali je, ayah?"soalku lagi. "Kerana tempat itu tempat yang tidak baik, adanya perjudian, bercampurnya lelaki dan perempuan dan membazir duit. Ayah bawa along ke sana sekali sahaja untuk along kenal tempat tu dan takkan pergi ke sana lagi" terang ayah dengan jelas. "Oh, tempat tu tempat tak elok ke? Kalau camtu along tak nak pergi la." aku menolak tawaran ayah. Selang beberapa hari, aku dan ayah melewati tempat itu lagi. Ayah bertanya, "Along nak pergi tak tempat ni? Jom ayah bawa pergi sekali." ayah bersungguh-sungguh mempelawaku ke sana. " Tak mengapa la, ayah. Along dah tengok dah dalam tv camna tempat tu. Macam genting highland kan, ayah?" Aku menolak tawaran kedua.

Begitulah cara seorang ayah mendidik anak kecil yang menjadi bola mainan syaitan. Anak kecil itu dipujuk rayu oleh syaitan kerana tertarik pada keseronokan sementara. Ayah ingin kenalkan kepada jahiliah. Jika kenal apa itu jahiliah, barulah mudah untuk kita menghindarinya.

Jahil. Nabi Adam diajar Allah agar berpengetahuan. Dilarang Nabi Adam mendekati pohon khuldi. Namun terpedaya jua Nabi Adam akan pujuk rayu Hawa. Mengapa Allah melarang menghampiri pohon khuldi, sama seperti larangan Allah terhadap zina? Jangan kamu menghampiri zina. Ini kerana Pencipta manusia amat arif tentang ciptaanNYA. Allah mengetahui manusia itu lemah. Allah tidak melarang secara terus. Janganlah kamu berzina. Sama jua seperti kisah Nabi Adam, Allah tidak melarang terus. Janganlah kamu memakan buah khuldi.

Tetapi manusia angkuh, mereka merasakan diri mereka kuat. Boleh menahan godaan nafsu dan hasutan syaitan. Dengan menghampiri pohon khuldi, Nabi Adam dan Hawa terpedaya dengan hasutan syaitan lalu memakannya. Kemungkinan besar manusia yang menghampiri zina, akan melakukan zina, jika dilihat kedua-dua situasi ini dari perspektif yang sama.

Namun selaku hamba, kita perlu beradab. Bagaimana beradab dengan Allah? Kita mengetahui setiap perkara, segala yang baik mahupun buruk datangnya dari Allah, tetapi beradabnya kita dengan Allah kita sandarkan keburukan itu pada kelemahan diri kita sebagai makhlukNya yang kerdil. Terima kasih, ya Allah, kerana mengenalkan aku pada bahayanya biusan cinta duniawi secara tidak lansung. Kini aku bertaubat dengan sebenar-benar taubat. Kau leraikanlah dunia yang mendiam dalam hatiku kerana aku tidak mampu menanggung siksaanMu.

Ya, benar aku akui untuk bertambahnya iman. Aku perlu diuji. Namun begitu, ya Allah, janganlah aku diuji dengan ujian yang lebih berat dari imanku. Seandainya imanku hanya 1kg janganlah Kau mengujiku dengan ujian 2kg. Aku merayu padaMu, Ya Allah. Aku bukan seperti Amr yang tabah dan redha dengan ujian yang besar. Melihat keduaibubapanya dibunuh. Aku manusia kerdil yang hanya baru belajar mengenal apa itu kehidupan. (Bersabarlah keluarga Yassir bagimu syurga di sana).

Maafkanku wahai kaum Adam, andai aku perosak kemuliaanmu. Pujuk rayu manja yang menjatuhkan ego seorang lelaki. Aku benar-benar menyesal. Jadikanlah penyesalanku ini titik mula untuk perubahan yang besar. Impianku untuk menjadi sekuntum mawar berduri mungkin telah musnah. Namun aku tetap akan memelihara kelopak-kelopakku yang masih berbaki. Andai habis maduku dinikmati oleh kumbang lain, aku pohon kemaafan atas kecuranganku sebelum tiba masanya. Aku dambakan ucapan terima kasih atas penghargaan menjaga diriku sebaik mungkin setelah tiba masanya.

Terima kasih wahai nendaku kerana mengajarkanku alif-ba-ta hingga aku lancar membaca Al-fatihah. Tanpa Al-fatihah tidak sah solatku. Apa erti hidup tanpa solat yang sempurna? Malah lebih teruk lagi, khuatir andai aku menyangka solat kuditerima. Namun sebenarnya sia-sia kerana tidak cukup syarat rukunnya. Dengan Al-fatihah juga, aku boleh berbakti kepada ibu bapa. Bagaimana? Dengan menghadiahkan bacaan Al-fatihah kepada mereka tanda kasih sayangku.

Guruku yang tercinta, redhakanlah aku. Semoga segala ilmu dapat dipraktikkan. Harapanku, pahala jariah terus mengalir deras buatmu.

Musnahkanlah kegelapan. Bercahayalah kebenaran. Oleh sebab itu, aku cukup benci pada sambutan hari jadi, meniup lilin di atas kek. Simbolik. Daripada cahaya kepada kegelapan.

Betapa indahnya Islam dengan sifat inqilabiah. Biarpun sifat-sifat Islam ini bukan datang dari nabi. Tiada sandaran hadis. Aku hargai ulamak kontemporari yang memudahkan aku untuk memahami agamaku. Apa yang dimaksudkan dengan inqilabiah? Kebangkitan Islam dengan jatuhnya jahiliah. Islam dan jahiliah tidak boleh selari. Sifat Islam ini wajar diamalkan dalam diri setiap muslim. Perkara jahat dan baik tidak boleh sama naik, bahasa mudahnya. Aku wajib meninggalkan amalan-amalan jahiliah untuk menjadi mukmin yang kuat. Ya Allah, pintaku lagi janganlah Kau hilangkan rasa bersalah andainya aku melakukan dosa. Penyesalan inilah nikmat paling besar yang harus aku pelihara.


~~Aku dan detik renaissanceku~~~


No comments: