13 November 2009


Papa Mamaku, Amir Amirah..:-)



Bertuahnya insan yang dilahirkan ke dunia dari keturunan yang baik. Pernahkah kita bersyukur dilahirkan dalam golongan ini? Bukan untuk dibanggakan tetapi untuk peransang bagi menyelamatkan generasi akan datang. Kita mungkin berperibadi seperti sekarang kerana doa-doa mereka yang telah dikabulkan. Mereka mendoakan anak-cucu mereka soleh solehah. Dan kita juga mendoakan agar beroleh anak yang soleh dan solehah.

Satu kajian kes memaparkan kisah sepasang suami isteri yang berkahwin selama empat tahun, diuji dengan kelewatan mendapat zuriat telah menimbulkan rasa simpati serta pengajaran terhadap erti ketabahan dalam menjalani kehidupan realiti. Pelbagai usaha dilakukan, samada rawatan-rawatan moden mahupun tradisional. Pandangan masyarakat sekeliling juga menjadikan dugaan ini bertambah berat untuk ditanggung. Namun mereka yang diuji sahaja mampu memikulnya.

Apakah kita perlu diuji baru hendak menjadi hambaNya yang bersyukur? Mahu merasai betapa sukarnya mendapat zuriat yang baik, baru menghargai amanah Allah? Kita akan terdidik oleh ujian kehidupan untuk menjadi hambaNya yang bersyukur. Tanda kita bersyukur sudah pasti dengan mengasuh dan mendidik mereka dengan penuh kasih sayang serta didikan agama yang sempurna. Persoalannya, mahu diuji dahulu? Seolah mencabar kekuasaanNya. Bersyukur dengan nikmatNya yang dimilik sekarang, tidak perlu datang ujian berat baru datang kesedaran untuk menjadi hambaNya yang bersyukur. Peringatan buat diri saya juga.

Kajian kes yang lain pula mengisahkan tentang sepasang suami isteri yang beroleh anak yang ramai. Anak pertamanya lelaki dan kandungan keduanya gugur, enam orang anak seterusnya adalah perempuan. Mereka diuji dengan gugurnya kandungan. Bukan suatu perkara yang mudah untuk menerima hakikat kehilangan anak dalam kandungan. Oleh itu, ibubapa yang beriman yang diuji dengan dugaan ini akan mendapat ganjaran yang besar diakhirat kelak.

Allah itu maha adil dikurniakan nikmat anak yang ramai bagi pasangan ini dengan kurniaan puteri-puteri solehah seramai enam orang. Alhamdulillah atas nikmat yang besar ini. Dalam diberi nikmat, mereka sebenarnya diuji. Bukan suatu perkara yang mudah untuk mejaga dan mendidik anak perempuan. Sehingga digambarkan bahawa mendidik seorang saudara perempuan itu adalah lebih sukar daripada menjaga sekandang lembu. Namun, Allah lebih mengetahui dan sememangnya Dia Maha Mengetahui. Mereka berjaya mendidik keenam-enamnya sebaik mungkin.

Pasangan ini terus berdoa agar dikurniakan seorang putera sehingga mereka bernazar, seandainya dikurniakan seorang bayi lelaki, satu majlis kenduri kesyukuran akan diadakan. Malah rakan-rakan yang simpati terhadap pasangan ini turut bernazar untuk menghadiahkan sesuatu hadiah sekiranya mereka mendapat anak lelaki. Alhamdulillah, akhirnya, pada usia yang menjangkau 40-an, si isteri telah mengandung seorang anak lelaki. Didik anak lelaki ini dengan penuh kasih sayang. Sehingga menimbulkan rasa cemburu dikalangan kakak-kakaknya. Untuk mudah difahami situasi ini, cemburunya kakak terhadap adiknya seperti cemburunya kekandanya Nabi Yusuf terhadap baginda. Namun perumpamaan ini sudah tentu mengenengahkan pengaplikasian konsep ’hiperbola’ dalam ilmu kesusasteraan melayu kerana mana mungkin dibanding kehidupan manusia biasa dengan keluarga para anbia.

Anak lelaki bongsu mereka, bukan sahaja memiliki akhlak yang mulia malah mempunyai rupa paras yang menawan. Nabi Yusuf amat tersohor dengan ke’handsome’an nya tidak layak untuk dibandingkan dengan manusia biasa. Apa tidaknya, terpotong jari dek pisau yang tajam juga tidak dirasai jika terpandang wajah baginda yang amat mengagumkan.

Berakhlaknya anak lelaki mereka menjadi buah mulut bukan sahaja dikalangan para guru yang mengajarnya, malah golongan tua yang juga terpikat dengan sikapnya. Menghormati orang tua, tidak pernah meninggi suara ketika bercakap dengan orang tua. Jika dimarahi, masih mampu tersenyum. Dia bukan sahaja disenangi oleh keduaibubapa malah kaum keluarga dan sahabat handai.

Prestasi akademiknya juga baik dan bertambah cemerlang di peringkat menengah. Di medan olahraga juga dia menjadi pahlawan. Malah turut menjadi peserta hafazan. Sungguh bertuah. Kepimpinannya usah dibicarakan, menjadi ketua umum pada sesi pengajiannya. Disukai guru-guru dan ustaz ustazah. Soal wanita? Sungguh ramai tergilakannya. Puas menepis untuk menjaga kehormatan diri.

Namun, ujian Tuhan datang dalam dua cara, adakalanya diuji dengan nikmat, ada masanya diuji dengan khabar yang sedih. Anak lelaki ini dipinjam hanya untuk sementara. Kegembiraan hanya untuk seketika, diambil semula ketika anak muda ini seawal usia remaja. Anak soleh, orang yang baik amat disayangi. Namun, Dia lebih menyayanginya. Semoga anak soleh ini bersama para solehin. Beristirehat menunggunya hari perhitungan a’mal baiknya. Al-Fatihah.

Dewasa kini, kita sering dikejutkan dengan masalah sosial yang kian meruncing dikalangan remaja yang ketandusan kasih sayang. Kurangnya penerapan ilmu agama sedari kecil, sejak dilahirkan kedunia lagi. Anjuran rasulullah agar dibacakan surah al-Qur’an untuk bayi dalam kandungan sudah cukup menunjukkan didikan agama amat penting, bermula seawal mungkin. Kesibukan menghambat kemewahan dunia menjadi manusia alpa tentang tanggungjawab terhadap amanh Allah ini.

Namun, ia tidak mustahil jika wujud toleransi serta kerjasama yang hebat antara ibu dan bapa dalam mendidik anak-anak. ”Papaku seorang Jurutera di sebuah syarikat terkemuka, mamaku pula seorang pensyarah di sebuah universiti ternama” Pernyataan ini tidak menghalang proses didikan anak-anak seandainya ibu bapa bijak menyusun strategi. Jika melihat situasi seorang ahli dakwah ternama, Ustaz Hasrizal sekalipun membuktikan kehidupan sebuah keluarga tetap membuahkan hasil walaupun kedua ibu bapa bekerja serta sibuk dengan tugas masing-masing. Apa yang penting? Kerjasama. [propaganda Sponge Box..:-)..]

Kajian kes seterusnya yang ingin saya kongsikan bersama di sini memaparkan kesibukan ibubapa tidak menjadi faktor penghalang pentarbiyahan anak-anak. Hasil temuramah yang dilakukan secara tidak formal terhadap pasangan tersebut, saya dapat menyimpulkan bahawa terdapat tiga elemen utama yang perlu dipertimbangkan dalam usaha melahirkan generasi Rabbani, iaitu : (1) keluarga, (2) kerjaya atau pelajaran dan (3) diri. Agak sukar untuk mencapai ketiga-tiganya dalam satu masa. Ini menyebabkan kita terpaksa mengorbankan salah satu daripadanya untuk mengecapi dua yang lain. Namun tidak mustahil mencapai ketig-tiganya, jika mereka hebat dalam ilmu pengurusan. Bagi manusia biasa yang kurang ilmu ini berpendapat, seandainya kita mengimpikan keluarga bahagia, sudah semestinya faktor pertama tidak dikorbankan. Kerjaya atau faktor kedua amat penting untuk masa depan keluarga yang bakal dibina dan yang tertinggal adalah faktor yang ketiga iaitu diri dan kemahuan peribadi. Tidak dinafikan kita amat terdorong untuk mendapat keselesaan terutama untuk diri sendiri. Pengorbanan terhadap faktor ketiga ini bukan bermaksud kita tidak lansung mempunyai masa untuk diri, cuma masanya sahaja terhad kerana kita memilih untuk mengutamakan faktor yang lebih utama iaitu keluarga dan kerjaya. Pendapat ini boleh diterima dan disangkal kerana ia bukan sabda nabi mahupun firman yang termaktub dalam al-Qur’an. Hasil penulisan ini mungkin mencetuskan idea bagi menjana pemikiran yang lebih kreatif. Hanya cetusan pendapat daripada insan yang baru belajar apa itu erti sebuah kehidupan sementara. Wslm.

No comments: